Tiada guna gaji minimum |
Gaji bulanan minimum bagi pekerja sektor swasta di Semenanjung ditetapkan pada RM900 (RM4.33 sejam) dan RM800 (RM3.85 sejam) bagi Sarawak, Sabah dan Labuan. Gaji minimum akan dikaji semula dari semasa ke semasa selaras dengan produktiviti negara, kemampuan dan daya saing.
Pemerintah menyedari pekerja menuntut gaji minimum antara RM1,200 dan RM1,500, namun ia tidak dapat dilaksanakan. Berdasarkan syor Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.
Selepas beberapa siri perbincangan, satu keputusan telah dicapai oleh Majlis itu bahawa gaji minimum akan ditetapkan berdasarkan keperluan asas keluarga pekerja, keupayaan majikan untuk membayar gaji, produktiviti, peningkatan dalam kos sara hidup dan keadaan pasaran buruh.
Tiada Guna Gaji Minima, Rakyat Mahukan Jaminan Keperluan Asas, Makanan, Pakaian dan Tempat Tinggal
Di dalam sistem ekonomi sekular kapitalis, jumlah gaji yang dibayar kepada pekerja akan menentukan kos pengeluaran yang harus ditanggung oleh majikan. Jika kos pengeluaran meningkat disebabkan perlaksanaan tersebut, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada harga barang keluaran.
Jadi, apalah gunanya jika gaji ‘dinaikkan’ kepada jumlah minima dan pada masa yang ‘harga barang keluaran juga naik’.
Sungguhpun pemerintah berjanji akan mengawal kenaikan harga barangan, namun kebiasaannya kenaikan tetap berlaku.
Selagi ekonomi sekular kapitalis memandang tenaga kerja hanya daripada aspek material dan alat untuk meraih manfaat semata-mata, selagi itulah tujuan mendasar melaksanakan gaji minima ini tidak akan dapat dicapai.
Tambahan lagi, bagi pekerja bawahan yang hidup di kota-kota besar, adakah jumlah yang dicadangkan itu (RM900.00) benar-benar dapat menampung kos kehidupan mereka? Jawapannya TIDAK!!!
Sedangkan ramai golongan pekerja pertengahan seperti penyelia dan juruteknik pun tidak dapat mengecapi kehidupan yang makmur dan sejahtera di tengah-tengah kota raya yang dikelilingi pemungut hutang.
Di dalam Islam, tenaga kerja tidak dianggap sebagai objek atau alat untuk meraih manfaat semata-mata tetapi setiap pekerja dipandang sebagai seorang manusia yang mempunyai keperluan dan tanggungjawab untuk dipenuhi.
Bagi pekerja yang gajinya rendah dan tidak mampu untuk memenuhi keperluan diri dan keluarganya, negara akan menjamin semua aspek pemenuhan samada ia melibatkan keperluan asas seperti
- makanan,
- pakaian dan
- tempat tinggal serta juga
- keperluan lain seperti elektrik,
- air,
- pendidikan dan
- kesihatan.
Kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara ditentukan melalui kaedah dan hukum berkaitan pengagihan dan pemilikan kekayaan negara iaitu Ghanimah, Fai’, Kharaj, ‘Usyur, Khumus, Rikaz, Jizyah .
Belum dikira lagi dengan kepemilikan umum seperti petroleum serta galian yang amat banyak di perut bumi negara umat Islam, yang hasilnya akan dikembalikan kepada umat bagai memastikan kesejahteraannya.
Dalam keadaan umat semakin tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, taraf kesihatan yang semakin menurun, kes-kes jenayah yang semakin membimbangkan, kerajaan pula berasa amat bangga dengan usaha menjadi Negara Maju tetapi rakyat masih lagi miskin merempat muflis berhutang papa kedana.
Khatimah
Wahai mereka yang memegang kekuasaan pemerintahan! Kalian sendiri tahu bahawa kalian kini berada di dalam dilema akibat dari sistem sekular kufur demokrasi yang kalian terapkan. Kalian bimbang jika gaji dinaikkan, pelbagai masalah akan timbul, antaranya kos buruh negara akan meningkat dan ini akan menyebabkan pelabur asing mencari negara lain untuk melabur.
Kalian bingung ketika berhadapan dengan masalah ini, namun kalian tidak pula pernah berpaling kepada Islam untuk menyelesaikannya. Malah lebih buruk, kalian palingkan muka kalian dari Islam dan kalian rangkul penyelesaian kufur yang pastinya akan membawa lebih banyak kerosakan.
Islam menjamin keperluan rakyatnya dengan menyediakan peluang pekerjaan untuk setiap rakyat yang mampu bekerja. Islam meringankan beban rakyat dengan menjamin hak setiap individu rakyat dalam mendapatkan keperluan asas – makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Selain itu, hak-hak masyarakat seperti pendidikan, kesihatan dan lain-lain juga dijamin oleh Islam. Selain dari itu, hukum pekerjaan di dalam Islam akan memastikan bahawa setiap pekerja akan mendapat hak mereka yang sewajarnya.
Jaminan-jaminan ini secara pasti akan melepaskan setiap individu rakyat, tidak kira dari golongan pekerja mahupun tidak, dari tekanan-tekanan kehidupan yang kini di alami oleh para pekerja yang terpaksa tunduk di bawah sistem kapitalis yang kejam ini. [edit/abuidris/arrayah.info]