Ahad, 23 September 2012

Usaha Mendirikan Khilafah, Meneladani Rasulullah SAW Mendirikan Daulah

ARRAYAH.INFO, Bandar Baru Bangi, 23 September 2012 – Sekali lagi bertempat di Khilafah Centre, Seksyen 7, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) mengadakan Diskusi Muslimah, pada 17 September yang lalu, kali ini mengetengahkan tajuk "Kesan Tarbiyah Ramadhan: Singkirkan Sekularisme, Tegakkan Islam".

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh adik Hajar dengan ahli panelnya Ustazah Ummu Hajar. Beliau memulai pembentangannya dengan mengingatkan kembali para hadhirat tentang kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan, seterusnya mengupas kaitan antara amalan di dalam bulan Ramadhan, Islam dan sekularisme.

Ummu Hajar kemudian mengulas dengan terperinci mengenai sekularisme dan menjelaskan bagaimana sistem kufur itu berkembang sehingga berjaya mempengaruhi umat Islam. Sekularisme dibawa dan dikembangkan oleh Barat ke dunia Islam setelah mereka mula menjajah Negara Islam (Khilafah) saat ia mula melemah, ujar beliau. Setelah berjaya menakluk negeri-negeri umat Islam termasuk Malaysia (Tanah Melayu ketika itu), penjajah kuffar ini kemudian menancapkan sistem pemerintahan mereka (sekular) di setiap wilayah jajahannya.

Beliau kemudian memaparkan potret duka umat Islam kesan daripada penerapan sekularisme dan seterusnya menjelaskan bagaimana umat Islam dapat melawan sistem kufur ini dengan kekuatan takwa yang diterjemahkan melalui tindakan dan usaha menegakkan semula Khilafah mengikut metode kenabian.

Ummu Hajar seterusnya menjawab persoalan yang diajukan daripada hadhirat, baik secara lisan mahupun bertulis.

Di akhir majlis, ahli panel ini menyeru agar para Muslimah turut sama memainkan peranan dalam pembinaan masyarakat dan penegakan semula Khilafah Islam kerana ia adalah kewajipan dari Allah yang terkena ke atas setiap orang yang mengucap syahadah.

Hanya dengan penegakan semula Khilafah, barulah sistem kufur sekular yang didasarkan kepada akal manusia ini dapat dihapuskan secara total dan diganti dengan sistem Islam yang didasarkan kepada wahyu.

Sumber : http://www.mykhilafah.com/aksi-muslimah/3679-muslimah-wajib-tinggal-sekularisme-dan-tegak-islam
Recent Posts Widget | Webaholic

Catatan Popular