Jumaat, 28 September 2012

Bajet 2013 : Belanjawan Kerajaan Sekular, Menggalakkan Rakyat Melakukan Dosa

ARRAYAH.INFO, Malaysia, 28 September 2012 - Seperti biasa setiap kali pembentangan Bajet dan yang terbaru pembentangan Belanjawan atau Bajet 2013, pastinya ada sebahagian yang menyambut baik, sebahagian yang kecewa dan sebahagian lagi yang malas berkata apa-apa.

Seperti biasa juga, bagi sesetengah pihak, tidak ada yang istimewanya dengan bajet pada kali ini kerana ia hanyalah merupakan perubahan angka-angka dari bajet-bajet sebelumnya.

Ini kerana, rakyat mesti terus digula-gulakan dan hasil negara hendaklah diberi sedikit kepada rakyat agar rakyat boleh ditutup mulutnya menjelang Pilihanraya Umum ke 13 yang sepatutnya lebih banyak hak-hak rakyat perlu dilaksanakan tetapi yang sengaja disembunyikan.

Namun yang lebih menyedihkan lagi, belanjawan Kerajaan Sekular kali ini mengabaikan tanggungjawab dan lebih menggalakkan rakyat di Malaysia melakukan dosa.


Senarai Perkara Yang Mengakibatkan Dosa

Pertama: Sumber pendapatan terbesar bajet Kapitalis adalah dari cukai atau berasaskan cukai. Padahal, memungut cukai adalah sesuatu yang teramat jelas haramnya.

Kedua: Pengecualian 100% duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan. Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jalan ke atas teksi yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik. Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet persendirian. Tetapi tidak menghapuskan keseluruhan aktiviti cukai yang lainnya

Bajet itu juga tidak membezakan jenis pemilikan yang telah ditetapkan oleh Islam iaitu antara
  1. Kepemilikan individu
  2. Kepemilikan negara
  3. Kepemilikan umum
Oleh itu, adalah haram jika kerajaan mengumpul harta kekayaannya hasil daripada cukai atau hasil dari rampasan milik individu (milkiyyah al-fardiyyah) seperti pelbagai jenis cukai dan bayaran paksaan lainnya.

Ketiga: Bajet Kapitalis yang dibentangkan ini juga tidak memasukkan zakat sebagai satu unsur yang sepatutnya dijadikan punca pendapatan Negara, walhal terdapat begitu banyak nas tentang kewajipan memungut zakat untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf.

Keempat: Menggalakkan riba pengurangan pinjaman asal dengan mengurangkan pembayaran balik PTPTN apabila membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Okt 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan dan tidak menghapuskan riba PTPTN keseluruhan.

Kelima: Lebih mengagungkan undang-undang sekular warisan kafir British berbanding undang-undang warisan Rasulullah SAW melalui Al-Quran dan As-Sunnah dengan menawarkan bantuan guaman secara percuma melalui Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk membayar fi guaman tinggi.

Keenam Percuma kepada warga tua caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk klinik 1Malaysia serta pergigian milik Kerajaan. Menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV (Human Papilloma Virus – RM50 juta). Sewajibnya kerajaan yang memerintah memberikan rawatan yang percuma untuk semua orang terhadap masalah kesihatan tidak hanya kepada HPV dan orang tua sahaja.

Ketujuh Juga, haram bagi kerajaan mengaut keuntungan dari kekayaan/hak yang berupa milik awam (milkiyyah al-ammah) seperti minyak, gas, galian, air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan seumpamanya. Penerusan subsidi bil elektrik RM20 sepatutnya hanya dikenakan caj pengurusan sahaja yang tidak akan membebankan rakyat.


Kesimpulan

Dunia hari ini diatur menggunakan ideologi kapitalisme. Sekularisme adalah aqidah bagi ideologi, demokrasi adalah sistem pemerintahannya dan kapitalisme adalah sistem ekonominya.

Bajet yang dibentangkan hari ini adalah sebahagian dari apa yang diajar oleh ideologi kapitalisme. Ia bertentangan sama sekali dengan fiqh amwal dalam sistem ekonomi Islam.

Akibat dari kehancuran Sistem Khilafah, sistem pemerintahan Islam banyak sistem seperti pendidikan, kesihatan dan juga ekonomi sama-sekali tidak terlaksana dalam kehidupan hari ini.

Jika anda pertama kali mendengar, apakah itu Sistem Khilafah? Bersama-sama kita menyokongnya kerana janji Allah SWT melalui hadis Rasulullah SAW ia pasti akan kembali. Insya Allah, masanya sudah dekat.


Sumber : http://www.mykhilafah.com/sautun_nahdhah/SN192_Bajet.pdf
Recent Posts Widget | Webaholic

Catatan Popular