Rabu, 29 Ogos 2012

Kembalinya Khilafah adalah Kemerdekaan Sebenar Menurut Islam

kemerdekaan
ARRAYAH.INFO, Malaysia, 29 Ogos 2012 - Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam adalah memerdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Kemerdekaan menurut penjajah kafir barat adalah apabila sesebuah negara telah menganut budaya mereka (sekularisme/liberal/demokrasi/kapitalisme) dan mengikuti undang-undang mereka serta sesebuah negara itu bebas dari dikuasai oleh undang-undang Islam.

Apa ertinya MERDEKA?
Apa ertinya melaung-melaungkan MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !
Apa ertinya MERDEKA anda, adakah menurut Islam atau penjajah barat?

Malaysia berada di bawah penjajahan British selama lebih 150 tahun sejak mula kemasukan negara kafir British itu ke Tanah Melayu pada 1796.

Secara rasminya undang-undang kufur British mula bertapak di bumi kita ini dengan pengenalan ‘The Royal Charter of Justice’ pada tahun 1807 dan sejak itu hingga kini, tunjang kepada sistem pemerintahan dan undang-undang di Malaysia adalah berasaskan dari apa yang telah ditanam dan diajar oleh kafir penjajah ini.

British memberikan kemerdekaan palsu kepada Tanah Melayu pada tahun 1957 setelah golongan kafir itu meyakini bahawa pemimpin Tanah Melayu pada waktu itu hinggalah kepada generasi-generasi selepasnya akan terus berpegang teguh dengan sistem warisan kafir British dan undang-undang kafir yang mereka bawa.

Jika pada tahun 1948 British telah berjaya melahirkan Israel (Palestin) dengan ‘baik’ mengikut acuannya, pada 1957 pula British telah berjaya melahirkan Malaysia (Tanah Melayu) mengikut acuan yang sama.

Tidak berhenti setakat ‘melahirkan’ Malaysia, British turut menganugerahkan pula sebuah sistem pemerintahan untuk di‘imani’ oleh pemimpin dan rakyat negara ini yakni sebuah pemerintahan yang bergelar demokrasi!

Inilah pemerintahan demokrasi yang ‘diredhai’ oleh kaum Nasrani dan Yahudi tersebut! Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa sistem pemerintahan demokrasi di Tanah Melayu ini telah jauh menyimpang daripada syariat Nya apabila perlembagaan adalah lebih tinggi daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Sedarlah dan bangkitlah wahai umat untuk perubahan kerana
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha (senang) kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti mereka” [Surah al-Baqarah:120].

Khatimah

Wahai kaum Muslim, sudah tiba masanya kita memerdekakan diri. Sudah saatnya kita bangkit dan bersatu menerapkan kembali syariat Islam secara keseluruhan.

Juga sudah sampai ketikanya kita mewujudkan kepemimpinan yang Islami dengan menegakkan kembali institusi Negara Islam Global, iaitu Khilafah Islamiyyah.

Khilafah Islamiyyah inilah yang akan membawa kita menuju kemerdekaan yang hakiki, menghambakan diri kita hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala semata. Insya ALLAH, Amin. [abuidris/arrayah.info]
Recent Posts Widget | Webaholic

Catatan Popular