ARRAYAH.INFO, Sandakan, 8 April 2012 – Dialog Negara Islam anjuran Hizbut Tahrir Malaysia telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Sandakan. Program pertama di dalam Siri Jelajah Malaysia 2012 ini telah berjaya menarik lebih kurang 200 orang yang memenuhi Ballroom hotel tersohor di Sandakan itu.
Umat Islam dari seluruh pelosok Sandakan hadir bagi mengetahui lebih lanjut tentang Hizbut Tahrir dan perjuangan Hizbut Tahrir di dalam menegakkan Negara Islam (Khilafah) di seluruh dunia.
Sambutan baik di Sandakan ini membuktikan bahawa gelora dan seruan dakwah bagi menegakkan kembali Khilafah di negeri di bawah bayu itu telah semakin membara.
Dari persoalan-persoalan yang diajukan di sepanjang sesi dialog ini, jelas menggambarkan bahawa umat Islam di Sabah amnya dan Sandakan khususnya sudah semakin sedar akan kewajiban mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan semula Khilafah dengan mengikuti thariqah (jalan) Rasulullah SAW yang hak dan bukannya jalan demokrasi yang penuh kebatilan.
Majlis dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Saudara Azlan dan dipengerusikan oleh Saudara Abu Arsyad manakala moderatornya adalah Saudara Sofian.
Presiden Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Abdul Hakim Othman dan salah seorang AJK Pusat Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Umar Hussein merupakan dua orang ahli panel dalam siri dialog yang pertama ini.
Majlis dialog ini ternyata mendapat reaksi hangat dari para hadhirin dengan puluhan soalan diajukan oleh para peserta baik secara lisan mahupun bertulis.
Persoalan yang dilontarkan adalah berkisar perjuangan dan pendirian Hizbut Tahrir di dalam pelbagai isu termasuklah halangan-halangan yang dihadapi oleh Hizbut Tahrir di sepanjang perjuangan menegakkan Khilafah.
Secara umumnya sesi dialog tersebut telah berjaya menjawab dan memberi pencerahan kepada semua soalan yang dikemukakan. Majlis dialog terpaksa dilanjutkan lebih setengah jam daripada masa asal kerana banyaknya soalan yang diajukan kepada ahli panel.
Seperti biasa, pihak polis Cawangan Khas tidak terkecuali datang ke program anjuran Hizbut Tahrir Malaysia ini bagi melakukan kerja-kerja pemantauan mereka.Setelah program tamat, Ustaz Hakim di wawancara oleh wartawan dari Borneo Post yang turut hadir sejak awal untuk membuat liputan. [mykhilafah.com/arrayah.info]
Sumber : http://www.mykhilafah.com/aktiviti-htm/3331-dialog-negara-islam-bersama-htm-membuka-tirai-dengan-jayanya
Lihat laporan bergambar