Selasa, 3 Julai 2012

Panji Islam kini Menunggu Kemunculan Ketua Baru Untuk Menjulangnya

ARRAYAH.INFO, Rom, 3 Julai 2012 - Selepas Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abu Talib dan Abdullah bin Abu Rawahah gugur syahid, Panji (Bendera) Islam kini menunggu kemunculan ketua baru untuk menjulangnya sebagai tanda tentera Negara Islam tetap bertahan dan sama sekali tidak akan menyerah kalah pada pihak musuh.

Sedangkan Rasulullah SAW tidak menyebut siapa pengganti kepada ketiga-tiga ketua panglima tentera Negara Islam yang telah gugur syahid itu.

Ini menyebabkan tentera Negara Islam sedikit kucar-kacir kerana tiada pemimpin mengambil alih bagi menerajui dan menentukan hala tuju perjuangan mereka.

Namun seorang sahabat yang dahulunya pernah berjuang di Perang Badar, Thabit bin Aqram terus bertindak mengambil Panji Islam lalu dijulang Panji tersebut tinggi ke udara.

Melihatkan Panji Islam berkibar-kibar di udara, lalu seluruh tentera Negara Islam segera berkumpul pada Panji tersebut bagi menantikan arahan daripada kepimpinan baru pasukan.

Tsabit sama sekali tidak bermaksud untuk mengambil alih peranan ketua panglima tentera Negara Islam, malah sambil mengibarkan Panji itu, beliau melaung-laungkan suaranya:

"Wahai sekalian, orang Islam! Lantiklah seorang di kalangan kamu untuk menjadi ketua. Segeralah kamu lantik demi mempertahankan maruah dan agama Allah ini!"

"Kamulah yang menjadi ketua kami, wahai Tsabit," seru seorang anggota tentera Negara Islam.

"Aku tidak layak untuk mengepalai barisan tentera ini," balas Tsabit.

panji
Namun apabila melihat seorang sahabat (yang dahulunya adalah musuh ketat Islam), Khalid bin Al-Walid adalah antara anggota tentera Islam yang mula-mula sampai dan menghampirinya, Tsabit terus menyerahkan Panji Islam itu kepada Khalid.

Alangkah terkejutnya Khalid dengan tindakan Tsabit itu.

"Wahai Tsabit, bukankah kamu lebih tua? Malah kamu sebelum ini merupakan Ahli Badar (anggota tentera Badar), tentulah kamu yang lebih layak untuk menjadi ketua berbanding aku," soal Khalid.

Lalu Tsabit pun menjawab: "Ambillah wahai Khalid akan Panji ini. Aku tidak mengambil Panji ini melainkan untuk diserahkan kepada kamu. Sekarang bukan masanya untuk bertolak-tolakan. Suasana kini semakin genting dan memerlukan seorang pakar perang dan kamu adalah orangnya."

Disebabkan Khalid masih baru memeluk Islam dan bimbang ada tentera Islam yang tidak bersetuju dengan pelantikannya sebagai ketua, lalu Tsabit pun dengan lantangnya berkata;

"Wahai saudara-saudaraku, tetapkanlah di hati kamu bahawa Khalid bin Al-Walid adalah yang paling layak memegang dan mempertahankan Panji Islam ini. Dialah yang paling tepat sebagai panglima perang kita!"

Seketika itu juga seluruh tentera Islam serentak menyatakan setuju dan sokongan mereka terhadap Khalid sebagai ketua baru mereka.

Mendengarkan harapan yang sungguh tinggi daripada Tsabit dan sokongan tidak berbelah bahagi, Khalid menganggukkan kepalanya dan terus mengibarkan Panji Islam.

Khalid bangkit bagaikan seekor singa. Beliau segera 'mengaum', memanggil semua anggota tentera Islam untuk berkumpul bagi mendengarkan arahannya.

Khalid Al-Walid adalah seorang lagi pahlawan yang paling hebat dalam sejarah Islam sehingga beliau digelar Saifullah al-Maslul (pedang Allah yang terhunus atau pedang Allah) walaupun pada asalnya beliau seorang yang sangat kuat memusuhi Islam.

Gelaran itu bertepatan dengan satu riwayat di mana dikatakan sebanyak sembilan bilah pedang Khalid patah kerana kehebatan beliau bertempur di medan Muktah.

Sebagai seorang yang pernah mengucar-kacirkan pertahanan tentera Islam yang hampir-hampir menang semasa Perang Uhud, Khalid memang pakar strategik peperangan.

Bahkan, pada zaman jahiliahnya dahulu, Khalid terkenal sebagai seorang ahli gusti yang sangat digeruni kawan dan lawan, tetapi kali ini sebagai ketua panglima perang, beliau perlu mengaturkan satu strategi perang yang baru untuk mengalahkan tentera bersekutu Byzantine atau Rom itu. [SITI AINIZA KAMSARI/UTUSAN]

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Recent Posts Widget | Webaholic

Catatan Popular