Khamis, 22 Mac 2012

Keputusan Peperiksaan SPM, Kejayaan Bukan Muktamad, Kegagalan Bukan Penamat


keputusan spm
ARRAYAH.INFO, Putrajaya, 22 Mac 2012 - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 telah diumumkan pada hari Rabu, 21 Mac 2012 yang lalu dan semua calon telah mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi semalam.

Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini, semalam berkata, 468,808 calon menduduki SPM tahun lalu, membabitkan 412,028 calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian (7,155).

Ia turut membabitkan 7,925 calon sekolah menengah agama negeri; sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian (10,750), sekolah menengah agama rakyat (1,737) dan calon persendirian 29,213.


Keputusan Peperiksaan SPM, Kejayaan Bukan Muktamad, Kegagalan Bukan Penamat

Sistem pendidikan di Malaysia adalah amat terkesan berorientasi peperiksaan, dan seterusnya hampir memutlakkan prestasi individu dalam peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa depan seseorang pelajar.

Orientasi dan persepsi sedemikian jelas membawa pelbagai implikasi negatif terhadap misi dan tujuan pendidikan sebagai proses pembinaan tsaqafah (pemikiran) Islam serta ilmu-ilmu yang dikembangkan berdasarkan akidah Islam.

Dalam konteks realiti seperti itu memang ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa sistem peperiksaan lebih banyak menguji daripada mendidik dan sistem pendidikan yang diterapkan hari ini adalah merupakan sistem pendidikan sekular yang memisahkan agama dari kehidupan seharian.

Buktinya, hasil produk yang dihasilkan oleh dunia pendidikan hari ini walaupun cemerlang dalam melahirkan jurutera, usahawan, arkitek dan golongan professional yang berjaya, tetapi hakikatnya gagal melahirkan manusia yang bertakwa kepada Allah SWT.

Terlaksana di Malaysia dengan sistem pendidikan Sekular-Kapitalis yang akan melahirkan para cerdik pandai yang akan menyelesaikan masalah kehidupan menurut untung atau rugi hanya berpandukan akal semata-mata.

Masalah ini yang terjadi adalah ketiadaan Daulah Khilafah sebuah Negara Islam Global yang akan melaksanakan sistem pendidikan Islam berdasarkan akidah Islam yang melahirkan ramai insan bertakwa.


Qada' dan Qadar Ketentuan Allah

Kita sebagai makhluk-Nya wajib meyakini tentang qadha’ dan qadar Allah SWT sebagaimana terkandung di dalam rukun iman yang enam.

Beriman kepada qada’ dan qadar ertinya kita percaya dan yakin dengan sapenuh hati bahawa Allah SWT telah menentukan tentang segala sesuatu bagi makhluk-Nya.

Di dalam masyarakat Melayu kita istilah qadha’ dan qadar kadangkala disebut dengan “Takdir Tuhan” atau “Ketentuan Tuhan”. Kedua-duanya memberi maksud qadha’ dan qadar.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’du ayat 11:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”.

Berdasarkan ayat yang di atas jelaslah bahawa setiap perkara yang berlaku merupakan ketentuan Allah SWT, namun hakikatnya manusia tetap diberikan peluang oleh-Nya untuk terus berusaha mengubah sesuatu keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik.

Kita harus yakin dengan sepenuh hati bahawa segala sesuatu yang terjadi pada diri kita, baik yang menyenangkan mahu pun yang susah adalah atas kehendak Allah SWT.

Kepada para pelajar yang telah gagal dalam Peperiksaan SPM diharap jangan berputus asa kerana Allah SWT sentiasa memberi kita peluang untuk berusaha dan berjaya di dalam hayat kehidupan ini. Berusahalah... [abuidris/arrayah.info]

1 ulasan:

Recent Posts Widget | Webaholic

Catatan Popular