Khamis, 5 Julai 2012

Peringatan! Meneladani Rasulullah SAW Membina sebuah Negara Islam

rasulullah
ARRAYAH.INFO, Johor Bahru, 5 Julai 2012 - Bertempat di Dewan Utama, Khilafah Center; Hizbut Tahrir Malaysia, Cawangan Johor Bahru telah mengadakan suatu Diskusi Ilmu yang bertajuk “Meneladani Rasulullah Membina Negara Islam”. Diskusi Ilmu tersebut bermula pukul 9.15 pagi dan tamat pada pukul 12.15 tengahari, pada hari Ahad, bertarikh 1 Julai 2012.

Dalam Diskusi Ilmu tersebut, dua orang ahli panel iaitu Ustaz Wazir Jaafar dan Ustaz Farhan Yahya telah membentangkan pembentangan masing-masing. Selaku ahli panel pertama, Wazir telah menjelaskan bagaimana meletakkan sunnah sebagai rujukan dalam perjalanan hidup dan mengambil sirah sebagai kitab dakwah dalam melakukan perjuangan menegakkan Negara Islam yakni Khilafah. Sirah adalah rujukan yang qathie dalam bagaimana melaksanakan strategi dakwah untuk berjuang mendirikan sebuah Negara Islam.

"Umat Islam seringkali mengambil sirah hanya sebagai sejarah atau cerita-cerita teladan yang mana pengajaran hanya diambil dari kisah-kisah ibadah dan amal individu. Sedangkan di dalam sirah telah Rasulullah tunjukkan bagaimana caranya berpolitik, berdakwah dan mendirikan negara Islam dengan method yang sahih yang pasti membawa kepada kemenangan mutlak dengan izin Allah", ujar Ustaz Wazir semasa membentangkan tajuk Mendudukan Posisi As-Sunnah Dalam Kehidupan.

Tambah beliau lagi, kita sering melihat kepada perkataan dan diamnya Baginda, namun jarang sekali kita melihat perlakuan Baginda yang dilakukan secara terus-menerus tanpa ada sedikit penyimpangan dalam usaha menegakkan sebuah Negara Islam pertama di dunia yakni Madinah.

Setelah mengupas tentang maksud As-Sunnah dari pemahaman dan kesepakatan ulama hadith dan ulama ushul, maka dapat diyakini bahawa sirah Nabi SAW juga merupakan salah satu sumber yang patut dijadikan rujukan malah sebagai kitab dakwah dalam mendirikan Negara Islam.

dewan
Dalam pembentangan kedua yang bertajuk Meneladani Rasulullah Dalam Mendirikan Negara Islam pula, Ustaz Farhan telah menjelaskan dengan panjang lebar bagaimana Rasulullah semasa diutus menjadi rasul telah melakukan pembentukan khusus dan jama'i dalam menyiapkan akidah dan syaksiyah umat Islam, membentuk sebuah kutlah dakwah untuk menyebarkan Islam, melakukan pertembungan pemikiran dengan penduduk Mekkah, melakukan strategi-strategi politik, serta melakukan strategi mengambil alih kekuasaan mutlak tanpa sebarang kompromi dan tanpa kekerasan daripada golongan ahlu quwwah dan juga ahlu halli wal aqdi untuk mendirikan negara Islam Madinah.

Dan Ustaz Farhan menjelaskan bahawa kesemua tahapan ini diikuti satu persatu oleh Hizbut Tahrir tanpa penyimpangan sedikitpun daripada apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Diskusi Ilmu pada kali ini juga telah mendapat maklumbalas dengan pertanyaan daripada peserta tentang bagaimana umat pada hari ini telah pun ada contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah, namun masih lagi ingin berjuang mengikut waqi' atau ketentuan zaman dan tempat.

Panelis menjelaskan bahawa persoalan yang menjadi perdebatan umat Islam hari ini adalah apakah mengambil keringanan diantara 2 kemudaratan dapat digunapakai dalam masalah method menegakkan negara Islam.

Namun pendapat yang rajih adalah daripada pendapat Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Al-Mustashfa dan Imam As-Syatibi dalam Al-Muwafaqat, berdasarkan hadith nabi SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Malik dan At-T irmidzi bahawa pilihan itu boleh dilakukan selagi mana bukan tergolong dalam melakukan dosa.

Ustaz Wazir menjelaskan lagi bahawa "jika telah ada dihadapan kita suatu contoh yang terbaik yakni Rasulullah SAW dan metodnya dalam mendirikan negara Islam tanpa tunduk dan kompromi dengan mana-mana syarat yang akan mengkompromikan perjuangan Islam dan penegakan Negara Islam secara menyeluruh, kenapa kita mesti membandingkan contoh yang terbaik yang diperintah oleh Allah untuk kita mengikutinya, dengan jalan yang membawa kepada kompromi dalam memperjuangkan Islam? Sedangkan dalam memperjuangkan Islam, Rasulullah juga tidak pernah berkompromi dengan sesiapapun walaupun sedikit."

Ustaz Farhan juga menambah bahawa adalah suatu tindakan yang zalim sekiranya Quran dan Sunnah harus disesuaikan mengikut waqi' dan zaman. Yang benarnya adalah zaman dan waqi' itulah yang sepatutnya dibentuk, diatur dan disesuaikan mengikut ketetapan Al-Quran dan juga As-Sunnah.Bagaimana para sahabat apabila dikhabarkan bahawa mereka akan menakluki Rom dan Konstantinopel, mereka tidak mempersoalkan apakah mereka mampu melakukannya atau mencadangkan pada Nabi untuk mengikut realiti yang ada, namun persoalan yang timbul dibenak mereka adalah negara mana yang akan ditakluki dahulu.

Ini menunjukkan bahawa para sahabat tidak pernah meragui Nabi dan perintahnya, tetapi hanya melaksanakan apa yang diperintah, kerana pastinya dengan mengikuti perintah Allah dan RasulNya, kita pasti akan menjadi orang-orang yang beruntung dan orang-orang yang mendapat kemenangan. [wazir/arrayah.info]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Recent Posts Widget | Webaholic

Catatan Popular