Isnin, 2 April 2012

Siri Jelajah Malaysia 2012 - Dialog 'Daulah Khilafah sebuah Negara Islam Global' bersama Hizbut Tahrir


Negara Islam Global
ARRAYAH.INFO, Malaysia, 2 April 2012 - Bermula April 2012, sebuah Parti Islam Global iaitu Hizbut Tahrir di Malaysia telah melancarkan Siri Jelajah Malaysia 2012 yang bertemakan “Dialog Negara Islam bersama Hizbut Tahrir Malaysia”. Siri pertama akan bermula di Sandakan pada hari Ahad 8hb April 2012 ini bertempat di Hotel Sandakan, Sabah.

Ia akan menampilkan Presiden Hizbut Tahrir Malaysia sendiri, Ustaz Abdul Hakim Othman dan juga salah seorang anggota pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Umar Hussien selaku ahli panel dalam siri pembukaan ini.

Dialog Negara Islam ini adalah bertujuan untuk menjelaskan kepada masyarakat, dalam bentuk yang lebih interaktif, tentang perjuangan Hizbut Tahrir menegakkan Negara Khilafah dan juga bagaimanakah bentuk Negara Islam (Khilafah) yang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia.

Sejak kejatuhan Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), sudah lebih 80 tahun umat Islam hidup menderita dan terpecah belah di seluruh dunia dan dibelenggu dengan sistem sekular di bawah para pemimpin yang tidak menerapkan Islam. Ustaz Abdul Hakim menegaskan bahawa Khilafah adalah sebuah kewajipan agung yang mesti diutamakan oleh setiap Muslim untuk diperjuangkan kerana dengan hanya tertegaknya Khilafah sahajalah, segala hukum Allah dapat diterapkan dan Islam akan menjadi agama yang menaungi dunia dengan penuh rahmat dan keberkatan dari Allah SWT.

Ustaz Abdul Hakim
Presiden Hizbut Tahrir Malaysia itu menjemput semua lapisan masyarakat, sama ada Muslim mahupun non-Muslim untuk hadir beramai-ramai di dalam siri dialog ini di mana Hizbut Tahrir Malaysia akan memberi penjelasan menyeluruh dan membuka ruang seluas-luasnya kepada masyarakat untuk bertanya apa jua soalan berkenaan Hizbut Tahrir dan Daulah Khilafah sebuah Negara Islam Global yang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir.

Hizbut Tahrir Malaysia akan mengadakan satu atau dua siri dialog setiap bulan yang akan merangkumi semua negeri di Malaysia. Tempat dan tarikh untuk siri dialog yang seterusnya akan dikeluarkan dari masa ke semasa.

“Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT agar Dia membuatkan program ini berjalan lancar dan seterusnya membantu dan melindungi setiap hambaNya yang ikhlas berjuang di dalam menegakkan agamaNya”, ujar Ustaz Hakim yang akan bertolak ke Sandakan dalam masa terdekat bagi memulakan siri jelajah yang pertama di sana.

Sumber : http://www.mykhilafah.com/dari-meja-presiden/3310-htm-lancar-dialog-jelajah-malaysia-2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Recent Posts Widget | Webaholic

Catatan Popular