Khamis, 26 April 2012

Negara-Negara Kafir Eropah Mendiskriminasi Masyarakat Islam

diskriminasi
ARRAYAH.INFO, London, 26 April 2012 - Negara-negara Kafir Eropah didapati mendiskriminasi masyarakat Islam semata-mata kerana mereka taat dan mengamalkan kepercayaan mereka, terutama dalam bidang pendidikan dan pekerjaan, kata kumpulan hak asasi, Amnesty International (AI).

Dalam satu laporannya yang tertumpu pada Belgium, Perancis, Belanda, Sepanyol dan Switzerland, AI menggesa kerajaan-kerajaan Eropah supaya melakukan lebih banyak bagi mencabar pandangan stereotaip dan prasangka buruk terhadap Islam.

Laporan itu khususnya kritikal terhadap negara-negara yang mengenakan larangan terang-terangan ke atas pemakaian kain penutup muka, atau vel, serta simbol-simbol keagamaan di sekolah.

'Daripada cuba memberikan hujah balas terhadap prasangka-prasangka itu, parti-parti politik dan pegawai awam sering menyokongnya dalam usaha mereka mendapatkan undi,' kata seorang pakar mengenai diskriminasi AI, Encik Marco Perolini.

'Wanita-wanita Islam dihalang mendapatkan pekerjaan dan anak-anak perempuan dihalang menghadiri kelas-kelas hanya kerana mereka memakai pakaian tradisional, seperti tudung.

'Kaum lelaki boleh dibuang kerja kerana mempunyai janggut yang biasanya dikaitkan dengan Islam,' kata beliau lagi.

Laporan AI itu diumumkan dua hari selepas parti Barisan Kebangsaan (NF) yang anti pendatang mencatatkan pencapaian perangkaan undi rekod dalam pusingan pertama pilihan raya presiden Perancis, dengan 18 peratus pengundi turut menyokong pemimpinnya, Cik Marine Le Pen.

Laporan tersebut, yang bertajuk, Pilihan dan prasangka: diskriminasi terhadap Masyarakat Islam di Eropah, menyatakan undang-undang yang melarang diskriminasi dalam pekerjaan belum lagi dilaksana dengan betul di Belgium, Perancis dan Belanda.

Para majikan dibenarkan melarang pemakaian simbol-simbol keagamaan dan budaya atas alasan bahawa ia akan mencetuskan kemarahan di kalangan pelanggannya dan rakan sekerja, atau ia bertentangan dengan imej korporat atau apa yang disebut sebagai mahu bersikap neutral, kata laporan itu.

AI berkata itu secara langsung bertentangan dengan undang-undang Kesatuan Eropah (EU).

'Undang-undang EU yang melarang diskriminasi atas alasan agama atau kepercayaan dalam bidang pekerjaan kelihatan tidak berkesan di seluruh Eropah, sedang kita melihat kadar pengangguran lebih tinggi di kalangan masyarakat Islam,' kata Encik Perolini.

Ini khususnya benar di kalangan wanita Islam berketurunan asing, tambah beliau.

Sejak sedekad lalu, pelajar sekolah dilarang memakai tudung dan pakaian tradisional keagamaan lain di negara-negara Eropah, termasuk Sepanyol, Perancis, Belgium, Switzerland dan Belanda, kata AI.

Kumpulan itu mengkritik Switzerland kerana melarang pembinaan menara baru bagi masjid.

Menurut kumpulan itu, di wilayah Catalonia, Sepanyol, ramai penganut Islam terpaksa bersolat di luar kerana pihak berkuasa menolak permohonan membina masjid atas alasan ia tidak bersesuaian dengan tradisi dan budaya Catalan. - AFP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Recent Posts Widget | Webaholic

Catatan Popular